Thursday, September 19, 2024

TUTUPLAH PINTU-PINTU SYAITAN

Syaitan diciptakan untuk membezakan antara orang-orang kafir dan orang beriman. Lalu didatangkan bisikkan-bisikkan kejahatan kepada manusia. Sesiapa yang memakan buah bisikkan kejahatan dari syaitan itu, maka jadilah dia orang- orang yang menzalimi diri sendiri.


PINTU-PINTU SYAITAN

Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk, -

(An-Naml 27:24) 

Matahari simbol kepada kemurahan rezeki,  kemakmuran, kekayaan, kesenangan, kebesaran dan sebagainya. Mereka menyembah matahari iaitu mereka menyembah material , contohnya mengejar kekayaan, kuasa, nama dan pangkat. Melakukan ibadah, tetapi hanyalah sebagai dagangan. Contohnya solat dhuha, niat sebenarnya hanyalah untuk dimurahkan rezeki.

Syaitan memperelokkan perbuatan mensyirikkan Allah dengan buah- buah bisikkan jahat dan janji-janji dunia seperti... "Kalau aku kaya", "Kalau aku berkuasa", "Bacalah mantera ini untuk manfaat itu dan ini" dan ada yang benar-benar meyembah matahari. Oleh itu mereka ini pertama, sememangnya kafir kepada ALLAH, kedua mereka beribadah dalam keadaan menyekutukan ALLAH.


PINTU-PINTU SYAITAN

Oleh itu tutup lah pintu-pintu syaitan  dari membiarkan bisikkan-bisikkan jahat itu masuk kedalam diri manusia. 

1) Pertama mendindingkan diri dari dihasut syaitan dengan mengasuh sikap ikhlas dan tawakkal kepada Allah

Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka. 

(Al-Nahl 16:99) 

Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam. 

 (Al-Nahl 16:98)

2) Kedua jadikan tujuan hidup ini dan segala gerak kerja dan ibadah hanyalah kerana Allah. Jika disebabkan hal-hal yang lain maka dia menjadikan syaitan dan hawa nafsunya sebagai Tuhan.

Sesungguhnya pengaruh Syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan dia pemimpin mereka, dan orang-orang yang dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah.  

(Al-Nahl 16:100) 

3) Ketiga, tentanglah bisikkan-bisikkan  kejahatan itu dengan kata-kata yang berbekas, buang buah-buah fikiran syaitan itu jauh-jauh, jangan mudah terhasut. 

Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak Syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi. (Al-Mujaadalah 58:19)

4) Ke empat, janganlah engkau duduk memikirkan tentang prasangka, hasutan mahupun buah fikiran dari syaitan. Dan janganlah engkau berteman dengan puak-puak syaitan iaitu manusia mahupun jin yang membicarakan hal-hal kejahatan, kebinasaan, mengeji menghina. Tinggal lah mereka. Carilah teman-teman yang baik. Akhlak seseorang itu dipengaruhi oleh akhlak temannya.

Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu). 

(Al-An'aam 6:68) 

5) Kelima, gunalah perkataan-perkataan yang amat baik apabila bercakap sesama makhluk secara berhadapan mahupun dalam bentuk tulisan. Kerana perkataan buruk membangkitkan hal yang buruk. Saling berpesan dan menasihati dengan kasih sayang.

Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik; sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka; sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia. (Al-Israa' 17:53)

6) Ke Enam, berdoalah memohon perlindungan kepada ALLAH dari hasutan syaitan.  Dan katakanlah: "Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan. (Al-Mu'minuun 23:97)

7) Ke Tujuh, jika engkau melihat temanmu sedang kebingungan atau dirasuk syaitan. Maka berilah nasihat dan petunjuk baginya untuk mengeluarkan dia dari pengaruh syaitan.

Katakanlah: "Patutkah kita menyeru serta menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kita; dan (patutkah) kita dikembalikan undur ke belakang (menjadi kafir musyrik) setelah kita diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan agama Islam), seperti orang yang telah disesatkan oleh Syaitan-syaitan di bumi (di tempat yang lengang) dalam keadaan bingung, sedang ia pula mempunyai sahabat-sahabat yang mengajaknya ke jalan yang lurus (dengan berkata kepadanya): "Marilah bersama-sama kami. "Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar-benar petunjuk, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam". 

(Al-An'aam 6:71)

8) Ke Lapan, Hindarilah sikap-sikap tidak baik ini 1) Angkuh, sombong, riyak dan bangga diri 2) Tamak dan Rakus, 3) Kedekut dan Bakhil, 3) Suka jawatan dan kekuasaan, 4) Gundah gulana dan Was-was, 5) Kesedihan 6) Angan-angan yang panjang 7) Menurut hawa nafsu dan keseronokkan.

No comments:

Post a Comment

ZAKAT

Zakat tergolong kepada dua jenis 1) ZAKAT BADANIAH : iaitu zakat tubuh badan atau zakat Fitrah 2) ZAKAT MALIAH : iaitu zakat Harta Benda...